20 Disember 2013

Tahun 2013: Pembekalan Mesin

2013 hampir melabuhkan tirai. Pelbagai peristiwa telah berlaku dan saya melalui 2013 dengan seronok apabila berpeluang meneroka beberapa kerja baru dan menjalin kerjasama baru bersama pelbagai pihak dalam menyampaikan latihan kemahiran. Syarikat telah pergi sejauh Pedas, Negeri Sembilan dan Kulai, Johor untuk memberitahu sebilangan kecil kumpulan tentang ilmu berkaitan jahitan. Untuk tahun mendatang, saya berjanji untuk bekerja dengan lebih keras tentang penyampaian ilmu jahitan. Syarikat tidak mensasarkan keuntungan yang besar walaupun tidak dapat dinafikan kepentingan wang dalam perniagaan.

Telah direzekikan ALLAH juga, syarikat berpeluang menjalankan kerja baik pulih dan selenggara mesin. Sesuatu yang baru! Saya gembira melakukan apa-apa perkara berkaitan jahitan, bahan jahitan dan mesin jahit. Tidak hanya mengetahui tentang pembuatan pakaian dan pembekalan alat, saya juga telah mahir dalam sedikit perkara teknikal berkaitan mesin jahit. Begitulah, jika minat tentang sesuatu... hampir tiada halangan untuk belajar dan mahir mengenainya sungguhpun dalam tempoh yang singkat. Sukacita dimaklumkan, syarikat juga telah membekalkan mesin untuk kegunaan khusus iaitu menjahit butang dan lubang butang. Harga bagi salah satu mesin tersebut ialah RM15 000.00!


Untuk segmen kraftangan, syarikat menyaksikan perkembangan pesat dalam jualan dan perbelanjaan modal. Jualan bagi kraftangan bukan hanya tertumpu pada kraftangan, ia juga meliputi khidmat latihan dan jualan bahan serta alat. Bagi kraftangan, saya ingin cuba melatih seberapa ramai peserta OKU dan tenaga pengajarnya tahun depan dengan tujuan supaya mereka dapat menghasilkan produk berkaitan kraftangan sekaligus memasarkannya. Tiada yang lebih menggembirakan apabila dapat melihat bekas pelatih saya dapat mencari dan menambah rezeki dengan menggunakan ilmu yang mereka perolehi.






Dalam mengaktifkan saluran-saluran jualan seperti facebook, blog, laman web, fan page, pasar tani, pasar ramadhan, walk in customer dan lain-lain... syarikat juga melalui pengalaman pahit ditipu oleh pembina laman web. Saya menasihatkan pembaca agar berhati-hati apabila berurusan dalam talian. Ada juga yang tak bayar, tetapi mengubahsuai resit dalam format PDF (nampak macam dah bayar)! Sangat kesal apabila berlaku perkara yang sebegini. Ada juga yang membuat order list yang panjang tetapi akhirnya membatalkan semua order list itu. Dihujungnya saya percaya, setiap ujian datang dariNYA dan pasti juga ia adalah pembayaran kepada dosa-dosa saya. Saya redha.

Setelah sejauh ini berjalan, hampir masuk tahun ke 7 dalam perniagaan... saya yakin inilah jalan yang telah ALLAH lorongkan untuk saya. Saya beristikharah setelah 2 tahun menganggur dulu, saya bermimpi menjahit. Walaupun berkelulusan Ijazah Sarjanamuda Pengurusan Hal-Ehwal Antarabangsa (Kepujian), major Undang-undang Antarabangsa & minor Diplomasi, jalan ini jugalah yang ALLAH pilih untuk saya. Tidak saya kesali. Amat-amat pahit apabila saya tidak menyertai arus perdana seperti rakan lain yang menggunakan ijazah mereka untuk bekerja. Saya di'reject' ketika menawarkan diri menjadi menantu & isteri hanya kerana saya menjahit. Mak cik tu nak anak dia kawin dengan orang yang bergaji. (Sekarang, anak mak cik tu memang kawin dengan orang yang bergaji, cikgu... menantu dia). Saya juga dulu malu menyertai perjumpaan tahunan rakan-rakan sekolah SMK Sharifah Rodziah, Melaka kerana tak tahu nak cakap saya kerja apa?, gaji berapa? dan 'post' apa?

Sungguhpun begitu, saya kini diberi ALLAH lebih dari apa yang saya minta. Setiap detik selepas mengenangkan perkara lalu, saya sentiasa menitipkan kesyukuran. Sayalah sesungguhnya sama sekali tidak mengetahui apa yang saya minta, ALLAH jualah yang MAHA MENGETAHUI. Saya sangka bekerja dengan ijazah itu terbaik untuk saya namun Sijil Kemahiran Malaysia inilah yang terbaik untuk saya. Cerita saya ini telah saya bawakan ketika dijemput untuk memberi ceramah motivasi kepada pelatih Giatmara, Jasin. Jika ada walau seorang yang faham, saya amat berpuas hati. Dengan jahitan ini juga, saya merasa dibayar RM 1200.00 sehari untuk menjadi Panel Penilai Industri untuk modul yang ditawarkan di Kolej Komuniti! Yang kita sangka buruk itu ujian, yang baik juga ujian... sebagai manusia, ujian itu sentiasa berada disekeliling kita.

IN SHA ALLAH, berjumpa lagi di tahun 2014 nanti! Publish!







03 Oktober 2013

Latihan Praktikal: Pelatih Antarabangsa Thailand-Giatmara

Pada Julai-September 2013, syarikat telah menerima 2 orang pelatih antarabangsa Thailand-Giatmara untuk menjalani latihan praktikal. Cik Kluesong & Cik Saidah merupakan belia dari Selatan Thailand yang terlibat dalam program kemahiran yang telah beberapa tahun dilaksanakan antara kerajaan Malaysia & Thailand. Para pelatih sebelum ini ditempatkan di Giatmara yang berada di utara Semenanjung Malaysia seperti negeri Kedah, kali ini Giatmara beralih angin dengan menempatkan para belia di negeri-negeri tengah dan selatan Semenanjung. Seusai menjalani latihan sepenuh masa (6 bulan) di Giatmara Jasin, mereka ditempatkan di entiti perniagaan selama 3 bulan.

Selama 3 bulan mereka menjalani latihan praktikal, mereka telah mempelajari beberapa modul yang disediakan oleh syarikat. Di sini, saya bahagikan kepada beberapa 'main modul' kepada 'sub modul'.
1. Variasi Kusyen:
   -Kusyen Donut
   -Kusyen Labu
   -Kusyen Bunga Raya
   -Kusyen Manggis
2. Variasi Beg:
   -Tote Bag
   -Tote Bag Modified
   -Reversible Bag
   -Round Reversible Bag
3. Variasi Langsir:
   -Single Box Pleat
   -Double Box Pleat
   -Box Pleat With Scallop
   -Palmet With Loose Scallop
4. Variasi Gelang:
   -Lenggang Lenggok
   -Donut Hijau
   -Hijau Dorado
   -Kristal Corak Berselang

Selain itu, mereka ditugaskan untuk membantu staf lain yang menjalankan kerja-kerja pengeluaran pakaian & kraftangan. Dari kaca mata saya, latihan yang mereka terima selama 6 bulan di Giatmara dapat mereka aplikasikan sepenuhnya ketika berada dalam aktiviti industri. Selain itu, mereka memiliki sahsiah dan peribadi yang terpuji. Tidak sekali membuat saya merasa tersinggung atau marah. KAMI YANG TINGGAL DI SINI MERASA SUNYI apabila mereka pulang ke Thailand.

Beberapa hari sebelum mereka tamat latihan, premis dikunjungi rombongan Southern Thailand Education Committee dan pegawai Giatmara Sdn. Bhd. Wah, tercengang-cengang juga saya dan staf lain apabila mereka berbahasa Thailand! Walaupun saya tidak faham langsung apa yang mereka katakan namun saya percaya Cik Kluesong dan Cik Saidah telah menyampaikan beberapa perkara yang baik tentang latihan yang telah mereka jalani di sini. SAYA SAYANG KAMU.


Hari akhir, saya dan staf lain meraikan mereka @ Breakfast di Mac Donald, MITC. Suasana begitu senyap ketika majlis perpisahan ini. Suasana yang bukan sepatutnya. Jumaat itu, kami akhiri pertemuan dengan janji di dalam hati bahawasanya silaturrahim ini tidak akan putus kerana ia terjalin kerana ALLAH. Kami akan bertemu lagi dengan izinNYA. Saya halalkan ilmu yang diberi, PULANG DAN BERBAKTILAH UNTUK AGAMA. Selamat jalan...


31 Ogos 2013

PASAR RAMADHAN: MELEPASI TITIK PULANG MODAL

Alhamdulillah, Syawal telah kita raikan dan hampir ke penghujung. Post kali ini adalah untuk berkongsi sedikit pengalaman manis ketika akhir Ramadhan. Antara pengalaman manis yang dirakam oleh kotak fikiran saya dan staf ialah pelbagai gelagat pelanggan yang dapat kami temui. Ada yang mencari warna kerongsang yang tidak kami jual, ada pula yang bertanya 'x de saiz yg lagi besar?', ada juga yang menyoal 'ada yg kecil?'. Memanglah... berniaga di pasaran terbuka, terdapat pelbagai permintaan yang lazimnya peniaga tidak mampu memenuhi kesemuanya.


Saya terhutang budi atas khidmat dedikasi Ketua Jabatan Pasar Ramadhan syarikat (Cik Wani) dan dua pelatih antarabangsa (Thailand) Cik Kluesong dan Cik Saidah sepanjang syarikat beroperasi. Walaupun panas dan letih... operasi Pasar Ramadhan syarikat berakhir pada Ramadhan yang ke 24. Sehari pun kami tidak bercuti. Ada juga kami lihat, peniaga yang membuka gerai hanya sehari. Allah yang memberi kami 'kekuatan' untuk bertahan. Syukur. Kami juga melepasi titik pulang modal. Oh! sungguh menggembirakan.

Dalam kemanisan yang digula-gulakan... ada juga racun yang menuba tasik hati saya. 'Apa yang awak jual ni, tak guna dijual di sini. Tak laku. Orang jual makanan, awak jual benda-benda ni. Awak masuk Pasar Tani, baru laku.' 'Amboi... sedapnya mulut pak cik ni. Suka2 mulut je nk cakap x laku!' kata hati saya. Dek kerana didikan orang tua... x terbit di mulut. 'Yelah kalau encik cakap begitu. Saya akan review semula produk saya. Siapa harus saya jumpa untuk urusan Pasar Tani? Berapa bayarannya? Apa syaratnya?' Lalu beliau memberikan maklumat.

Kemudiannya saya adakan perbincangan ringkas dengan Ketua Jabatan Pasar Ramadhan Syarikat (Cik Wani). Cik Wani memberi persetujuan agar nama jawatannya ditukarkan. Ketua Jabatan Kraftangan. Ha, ha... ini kerana Cik Wani akan bertugas untuk jualan online juga! Kami juga memutuskan untuk membuat R&D bagi tujuan mempelbagaikan produk. Untuk mengekalkan momentum jualan offline, saya mula mengisi borang memohon tapak untuk Pasar Tani. Sebagai makluman, bayaran bagi sewaan tapak Pasar Tani ialah RM5 untuk sewa tapak dan RM5 untuk sewa khemah. Publish!

15 Julai 2013

PASAR RAMADHAN: PENGALAMAN YANG BERHARGA



Ramadhan kali ini, syarikat memutuskan untuk menyewa tapak Pasar Ramadhan di Pekan Merlimau. Perniagaan runcit merupakan satu sektor dalam syarikat yang kurang berkembang. Bukanlah mudah bagi sebuah entiti untuk meneroka sektor peruncitan kerana terdapat beberapa perkara yang perlu dihalusi sebelum meneruskan teroka, di antaranya ialah:

1.       Tenaga kerja
2.       Sistem rekod
3.       Stok
4.       Modal
5.       Tempat
6.       Produk


Namun Ramadhan kali ini, syarikat dapat mengatasi halangan pertama iaitu tenaga kerja. Kebetulan pada ketika ini syarikat mempunyai 2 tenaga kerja mahir, 1 tenaga kerja berpendidikan tinggi & 2 pelatih Giatmara dari Selatan Thailand. Oleh yang demikian, tentulah Allah mengizinkan saya selaku pengurus syarikat untuk mengembangkan sektor peruncitan dalam syarikat yang statik sejak penubuhan 2006.

Setelah mempertimbangkan variasi produk, akhirnya kami memilih untuk memasarkan 4 jenis produk. Pemilihan ini tidaklah semata-mata bersandarkan ‘keupayaan meneka’ tetapi berdasarkan pengalaman dan jualan para pelatih yang telah menerima latihan kemahiran yang dikendalikan oleh syarikat. Berikut merupakan senarai produk yang kami niagakan:

1.       Kusyen manggis
2.       Kusyen bunga raya
3.       Beg bimbit
4.       Kerongsang
Brooch Felt

Setelah 3 hari Ramadhan berlalu… saya sememangnya mengalami kejutan! Rupa-rupanya sektor peruncitan adalah sama sekali berbeza dengan sektor pembekalan, pembuatan & latihan. Sektor ini memaksa saya TERSENYUM dan BERAMAH-TAMAH dengan pelanggan yang saya temui. Sesuatu yang jarang sekali saya pamerkan kepada khalayak. Sungguh tidak percaya bahawasanya saya mempunyai DAYA PUJUK atau MULUT MANIS yang sederhana. Para peniaga lain boleh ‘melaung-laung’ memanggil pelanggan, saya cuma boleh berkata… ‘Singgah puan…’. 

Kusyen Bunga Raya
Apabila pelanggan datang dan berlalu pergi tanpa membeli, saya berada dalam kehampaan yang berminit-minit lamanya sambil bertanya kepada diri sendiri… WHY? Pulang ke rumah, saya gusar memikirkan hari berikutnya. Ketua Jabatan Pasar Ramadhan syarikat saya (Cik Wani) berkali-kali menenangkan saya, kata beliau… ‘Sehari dua ni orang akan survey dulu puan. Lagi pun mereka sedang menumpukan perhatian kepada makanan, nanti mereka akan datang membeli di gerai kita.’ Jauh di sudut hati, saya mengutuk diri sendiri… 'Kenapa pula saya tak percaya?’

Ekoran telah menyandarkan semua harapan kepada Allah maka meningkatlah rasa kehambaan kepadaNya. Inilah antara kemanisan yang saya temui di Pasar Ramadhan tahun ini. Dengan sokongan staf, pelatih dan keluarga, operasi Pasar Ramadhan kali ini berjalan semakin lancar. Ya, jualan meningkat demi hari dan mudah-mudahan kami tidak melupakan ALLAH. Saya dan staf saling berpesan dan mengingatkan agar tidak meninggalkan solat walaupun berniaga. Anak saudara saya, Fatin ‘Aisyah juga saya jangka telah memasuki satu alam lain yang tidak saya lalui ketika remaja iaitu berniaga di Pasar Ramadhan.

Dari kiri: Cik Kluesong, Cik Wani & Cik Saidah
Terima kasih yang tidak terhingga kepada 2 Ketua Jabatan saya iaitu Ketua Jabatan Pasar Ramadhan (Cik Wani) dan Ketua Jabatan Pembuatan & Pengeluaran (Cik Zaharah) yang banyak membantu menjayakan misi syarikat. Juga Puan Ina, staf di Jabatan Pembuatan & Pengeluaran serta Cik Kluesong & Cik Saidah, Pelatih Giatmara dari Selatan Thailand yang membantu Cik Wani. Along, mak dan rakan-rakan yang membantu menjual produk secara online & offline. Budi baik semua, ucapan terima kasih jua yang saya titipkan. Salam Ramadhan penuh kasih sayang. Semoga kita kekal berada di bawah lembayung rahmatNya. Publish!

25 Jun 2013

Kerjaya Dalam Bidang Jahitan

Sekarang, ramai dari kalangan rakan-rakan saya sudah pun menutup tempahan pakaian untuk digayakan pada hari lebaran. Hari-hari mendatang hingga akhir Ramadhan, kami akan bertungkus-lumus menyiapkan tempahan. Waktu mula-mula menawarkan perkhidmatan menjahit pakaian, selesai solat Subuh... saya akan memandu terus ke bengkel. Saya akan menutup terimaan tempahan pada awal Ramadhan. Tempahan pula menjangkau 100 pasang! Syukur, semua tempahan siap tepat pada waktu. Ia kesan terapan dan didikan guru tempat saya mula-mula belajar menjahit.

Ini bengkel saya. Sebenarnya ia rumah ayah, tempat kami tinggal masa kecil.
Beberapa tahun selepas itu saya dengan izin Allah dan sokongan keluarga telah meneroka segmen pembekalan alat jahit. Mula-mula, saya diberi kepercayaan oleh Giatmara Sdn. Bhd. untuk membekal alat jahit. Terima kasih kepada cikgu saya, Puan Jamilah yang menerima begitu banyak kesilapan ketika saya menjalankan kerja-kerja pembekalan. Dan beliau masih menggunakan khidmat syarikat saya hingga kini. Syarikat saya juga telah membekalkan alat jahit dan mesin kepada beberapa jabatan kerajaan yang lain. Segmen ini menjana pendapatan kedua terbesar syarikat.

Pembekalan mesin jahit
Segmen yang paling saya gemari ialah latihan. Saya suka bertemu dengan 'orang yang tidak tahu tetapi mahu belajar'. Oleh yang demikian, syarikat saya menawarkan pelbagai modul selain baju dan langsir. Saya menyediakan modul-modul kraftangan yang boleh dibawa ke mana sahaja dan berjumpa dengan sejauh mungkin peserta. Mulai 1 Januari 2013 Sehingga 20 Jun 2013, syarikat telah melatih seramai 163 orang peserta di bawah pelbagai program. Ada yang percuma, ada yang berbayar.


Saya tahu, ramai rakan di luar sana yang boleh menyatakan beberapa lagi jenis kerjaya. Semoga dengan post saya kali ini, para graduan yang baru keluar dari mana-mana institut latihan kemahiran boleh memilih arah tuju kerjaya mereka. Ingin saya rumuskan di sini tentang beberapa jenis kerjaya dalam bidang jahitan:
  1. Jurujahit
  2. Jurupotong
  3. Pengurus syarikat
  4. Tenaga pengajar
  5. Pembekal
  6. Pereka Fesyen
  7. Pensyarah

17 Jun 2013

Latihan Kemahiran di BAKAT 9

Beberapa ketika pada tahun ini, syarikat telah membawa 'touch point' Latihan Kemahiran 1 Malaysia ke BAKAT 9 RAMD. Sebetulnya saya dan pengerusi BAKAT 9 RAMD bertemu di alam maya sebelum latihan kemahiran dapat diadakan di tempat beliau. Beliau menemui saya di blog ini. Kali pertama, saya membawa Modul Sulaman Riben & Benang kepada kumpulan BAKAT ini.


Bagi satu-satu sesi latihan, ahli BAKAT akan menyertainya dan memberi sepenuh komitmen dan tumpuan kepada tenaga pengajar. Jarang sekali saya mengalami kekurangan jumlah peserta. Kerjasama dari mereka tidak terdapat pada mana-mana kumpulan yang pernah saya temui. Dek kerana dedikasi, mereka telah menerima lebih dari 10 modul bagi Latihan 1 Malaysia. Bermaksud, lebih 20 produk telah mereka pelajari cara membuatnya.

  
Kusyen Manggis





Seusai Latihan 1 Malaysia, mereka akan menyertai Program 3L insyaallah. Saya dihidangkan peserta yang suaminya akan bersara dan kemahiran yang dipelajari akan digunakan untuk menambah pendapatan dalam menjalani kehidupan selepas bersara nanti. Pada ketika saya menulis artikel ni, memang ada di kalangan mereka yang telah berpindah mengikut suami memulakan kehidupan baru. Saya menitipkan doa agar mereka dapat memanfaatkan semua ilmu yang telah diperolehi.






Pada pendapat saya, bagi satu-satu kumpulan yang mempunyai ketua yang berdedikasi dan proaktif, mereka akan menerima faedah yang banyak. Tindakan yang seterusnya ialah mengekalkan gerak kerja sebagai satu kumpulan. Saling mempercayai dan menghormati merupakan nilai penting dalam kehidupan berkumpulan. Maaf ya kerana tidak dapat memuatnaik gambar Rumah BAKAT 9 RAMD kerana para pelawat dilarang mengambil gambar di dalam kem. Insyaallah jika diizinkan, saya akan menjalankan Program 3L di BAKAT 1 RAD pula. Inilah perkhabaran yang saya ingin sampaikan dalam post terdahulu. Dekat di hati saya, saya ingin mengadakan latihan di PERKEP pula tetapi tiada akses untuk melakukannya.

Jumpa lagi Insyaallah. Publish!

12 Mei 2013

Latihan Kemahiran Untuk Multi-Disable Person & Tenaga Pengajarnya

Sekitar akhir April 2013 yang lalu, syarikat berkesempatan untuk mengadakan Kursus Beg Bimbit I di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Nur Ehsan. Di sini, para peserta telah mempelajari 2 jenis beg iaitu tote bag & tote bag modified. Sememangnya menjadi asas penting bagi syarikat untuk melebarkan 'touch point' bagi Latihan 1 Malaysia.

Meskipun ada di kalangan pelatih PDK yang dapat mengikuti perjalanan kursus pada kadar minimum tetapi secara peribadi, ia sangat mengembirakan saya selaku pengurus syarikat. Dalam perjalanan hidup mereka, saya telah memberi sedikit pendedahan kepada kemahiran selain pakaian. Saya percaya, ini jugalah yang dimahukan oleh Giatmara Sdn. Bhd. selaku agensi yang menerima bajet bagi melaksanakan Latihan 1 Malaysia. Tenaga pengajar PDK juga menyertai latihan ini. Bagi mereka, Latihan 1 Malaysia merupakan kursus peningkatan. Semoga para tenaga pengajar terutama sekali Penyelia PDK Nur Ehsan kelak dapat mengadaptasi kaedah yang sesuai untuk menyampaikan pengisian modul kepada pelatih lain.


In Sha Allah jika diizinkanNya, kita akan menyentuh lagi satu kumpulan sasaran. Saya akan khabarkan kepada pembaca berkenaannya nanti. Baru-baru ini saya disedarkan oleh Along (kakak sulung saya) bahawasanya saya telah 'menulis sebuah karangan'. Allah dengan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hal-Ehwal Antarabangsa (Kepujian) UUM telah banyak membantu saya 'menulis sebuah karangan' yakni membawa Latihan 1 Malaysia kepada 'touch point' yang banyak. Benarlah kata Ayah, pendidikan tinggi akan membawa pandangan saya berkenaan satu-satu isu dari dimensi yang pelbagai. Sempena Hari Ibu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Mak yang mewariskan genetik 'kuat kerja' kepada saya. Gen ini membantu menjadikan saya gagah dan bertenaga apabila bekerja. :)


Ini sebahagian dari keluarga saya


Jumpa lagi In Sha Allah. Publish!

18 April 2013

SENARAI KURSUS JAHITAN PAKAIAN, ALAT & BAHAN



KELAS: JAHITAN PAKAIAN LELAKI
`MENS’ WEAR`

Yuran              : RM 100 per modul
Waktu kelas    : 9 pagi-3 petang
Bahan              : Bawa sendiri @ beli pek modul di kedai
Durasi              : 18-24 jam per modul
Senarai modul :
  1. Baju melayu butang 5
  2. Baju melayu butang 3
  3. Baju melayu moden
  4. Baju melayu kemeja
  5. Kemeja
  6. Jubah
  7. Gamis
  8. Seluar baju melayu
  9. Seluar slek


KELAS: JAHITAN PAKAIAN WANITAI
`LADIES DRESSMAKING`

Yuran              : RM 100 per modul
Waktu kelas    : 9 pagi-3 petang
Bahan              : Bawa sendiri @ beli pek modul di kedai
Durasi              : 12-18 jam per modul
Senarai modul :
  1. Baju kurung tradisional & kain susun tepi
  2. Baju kurung pahang & kain kipas belakang
  3. Baju kurung moden & kain lipat batik
  4. Kebaya & kain duyung
  5. Mini jubah & seluar
  6. Baju kurung kedah & kain 3 keping
  7. Blaus & kain potongan A
  8. Jubah
  9. Pijama
  10. Baju kurung tradisional lining penuh
  11. Baju kurung moden lining penuh


SENARAI ALAT YANG PERLU DIBAWA SENDIRI

Bil
Keterangan
1.       
Pembaris meter
2.       
Pembaris pembentuk
3.       
Pembaris 24”/18”
4.       
Pembaris skill
5.       
Gunting kain
6.       
Gunting kertas
7.       
Kacip
8.       
Penetas
9.       
Pita ukur
10.   
Peniti
11.   
Jarum tangan no. 7
12.   
Jarum tangan no. 11
13.   
Jarum mesin industri no. 11
14.   
Kapur tukang jahit
15.   
Pen
16.   
Pensil mekanikal
17.   
Pemadam
18.   
Liquid paper
19.   
Kertas A4
20.   
Buku kulit keras F4
21.   
Tool box
22.   
Span