25 Oktober 2014

Kelengkapan Untuk Si Kecil Kesayangan

Selamat menyambut tahun baru semua!

Tahun baru hijrah kali ini tentu sekali disambut dengan penuh makna. Tidak kurang juga ada yang berazam baru. Tak kisahlah walau apa pun azam anda, pastikan ia dicapai sebelum masuk tahun yang baru nanti.

Kali ini, saya mahu memberikan beberapa idea baru berkenaan kelengkapan untuk si kecil kesayangan. Wah, bolehlah rakan pembaca membeli produk seperti barut baby dan bedung atau membuat sendiri.

Barut baby yang saya buat agak moden kerana ia mempunyai 2 elemen iaitu ringkas dan pantas. Ia menggunakan kain flannel bercorak dan plain. Kain flannel adalah penyerap peluh terbaik. Penggunaan velcro menggantikan tali menjadikan kerja para ibu lebih mudah dan pantas.

Saya menjual barut baby ini pada harga RM5/unit. Bagi para ibu yang sedang mencari barut baby, boleh buat pre order dengan saya :). Bedung baby pula saya jual pada harga RM20/unit. Set tilam bayi pada harga RM70. Jumpa lagi dalam post yg lain. Publish!





06 Ogos 2014

Siri Latihan Kemahiran: Go Green!

Assalammualaikum,

Selamat Hari Raya semua. Kepada rakan-rakan jurujahit yang telah berjaya menghabiskan tempahan hari raya, tentu berdepan dengan keadaan baki kain bersaiz kecil. Banyak pula tu! Justeru, saya mencadangkan agar baki kain tersebut digunakan bagi menghasilkan produk sampingan. Dapat juga kita jual dan menyelamatkan alam sekitar. Bagi yang mempunyai premis atau ruang kerja yang terhad, saya mencadangkan agar kita tidak menyimpan baki kain terlalu lama. Sebenarnya saya tahu, kita sayang utk membuangnya. Begitulah tabiat saya pada awal perniagaan.

Modul 'Go Green': Siri 'Heavy Cotton'

Modul 'Go Green: Siri 'Printed Felt'

Pada tahun ketiga berniaga, saya membuang tabiat mengumpul baki kain kerana premis yang saya sewa terlalu sempit untuk saya berbuat begitu. Selanjutnya hingga tahun kelapan, saya mendapat idea untuk menghasilkan produk pula. Terima kasih kepada puan Wahidah Choo yang sudi menjual notanya kepada saya. Allah tentu melimpahkan begitu banyak rezeki kepada beliau kerana memanjangkan ilmu kepada orang lain. Produk ini juga saya jual di Pasar Ramadhan Merlimau tahun ini. Ternyata ramai juga pembelinya.

Bagi kumpulan yang mempunyai bajet terhad, namun ingin meminta saya datang untuk mengajar... mereka boleh juga mendapatkan sebutharga bahan dan bayaran tenaga pengajar. Mohon nyatakan tarikh dan modul yang mana ya :) tetapi jangan terkejut-terkejut pula. Berilah saya sedikit masa untuk 'packing' bahan dan menyiapkan mesin serta peralatan lain. Tentang mesin, jangan risau... syarikat mempunyai 7 buat mesin mudah alih untuk digunakan semasa latihan. Kapasiti maksimum kelas ialah 15 orang.

Semoga berjumpa lagi In Sha Allah. Publish!

21 April 2014

Latihan Kemahiran di Mini RTC

April 2014 saya berpeluang menjalankan latihan kemahiran di 3 Mini RTC di Negeri Sembilan. Dengan izin Allah, tercapai juga hasrat saya untuk 'berjalan lebih jauh' dan bekerja keras dalam menyampaikan latihan (janji tahun lalu). Saya menyampaikan peruntukan bagi Kursus 3L (Long Life Learning) dari Komuniti Giatmara Ledang.

Pagi yang damai di Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan
Perjalanan dari Melaka ke Kuala Klawang memakan masa selama 2 jam 40 minit. Saya dan staf menginap di pekan Kuala Klawang. Sehari sebelum kursus bermula, kami mencari kedudukan Mini RTC Felcra Lakai Utara dan Mini RTC Gagu. Di Melaka, untuk menemui satu demi satu Mini RTC amatlah mudah dan tidak memakan masa yang lama. Namun apa yang mengagumkan saya, Negeri Sembilan ini walaupun comel, kedudukan Mini RTC betul-betul di desa! Saya juga menaruh hati, bagaimana para pengurus Mini RTC ini istiqamah dalam menjalankan tugas mereka. Jika para pembaca kurang percaya, kunjungilah mereka. Saya rasa para pengurus Mini RTC seluruh Malaysia patut diraikan atas dedikasi mereka terhadap tugas.

Jumaat, saya ke Mini RTC Felcra Lakai Utara. Menjalankan modul Kerongsang Kanzashi. Saya tidak sedar yang kami menghampiri sempadan Pahang! Sehingga saya nampak 'Karak 65km'? Wah, bagaimana saya boleh berada di sini? (Kehairanan sendiri). Sambutan mesra Pengurus Mini RTC Felcra Lakai Utara (Cik Hayat) masih saya teringat hingga kini.

Kerongsang Kanzashi
Hari kedua, saya ke Mini RTC Gagu bagi melunaskan modul Tote Bag Modified.  Di sini, kami disajikan dengan para peserta yang ramah. Kedudukan Mini RTC Gagu juga terletak agak jauh dari jalan besar sehingga saya berasa was-was sama ada jalan yang saya lalui betul atau tidak. Tidak terasa saya yang baru berbadan dua ini ketika menyampaikan latihan di sini. Aroma tempoyak yang menikam kalbu ketika jamuan makan tengahari. Demi malu untuk menyuruh staf saya mencuit sedikit tempoyak itu, saya menyimpan hasrat kembali ke sana lagi. Selain untuk menyampaikan latihan, saya akan minta Cik Zai (Pengurus Mini RTC Gagu) menyimpankan sedikit tempoyak utk saya nanti.


Tote Bag Modified




Destinasi terakhir kami ialah Mini RTC Felcra Rompin. Para pengurus yang komited ini telah menghantar senarai nama peserta yang lengkap kepada saya seawal Januari 2014 lagi. Oleh yang demikian, bagi para pengurus lain yang lewat menghantar nama, janganlah marah ya sekiranya bajet bagi program ini telah habis ditempah. Dengan panduan lisan dari Cik Fairuz (Pengurus Mini RTC Felcra Rompin) kami menuju ke Bahau dan menginap di sana. Pada awal pagi, Cik Fairuz menjemput kami di hotel, membawa kami bersarapan dan terus ke Mini RTC Felcra Rompin kendalian beliau. Kali ini, saya sangka Cik Fairuz pula yang tersalah jalan kerana perjalanan kami lebih jauh ke dalam berbanding di Felcra Lakai. Lucu pula apabila saya ingati tatkala sendirian. Di sini, modul yang disampaikan ialah Reversible Bag. Meskipun bekalan elektrik terputus sebanyak 2 kali, akhirnya semua peserta dapat menyiapkan beg mereka dan bergambar penuh gaya.

Reversible Bag














Memang ada yang bertanya, berbaloikah saya datang dari Melaka dengan bajet yang kecil? Jawab saya... wang memanglah penting tetapi saya lebih gemar mendahulukan kesukaan saya iaitu bertemu dan bekerja dengan ramai orang. Ia menguji sifat-sifat keusahawanan saya. Lagipun saya suka lebih ramai orang tahu berkenaan sesuatu perkara berbanding hanya saya sahaja yang tahu. Semoga ada di antara peserta yang menerima latihan ini akan menjadi usahawan yang berjaya :). In sha Allah, jumpa lagi ya.











04 Februari 2014

Pembekal Kerangsang Custom Made di Melaka

Antara sub segmen perniagaan kraftangan syarikat ialah kerongsang. Ada beberapa syarikat yang melanggan secara tetap siri kerongsang ini. Dalam post kali ini, saya akan menyenaraikan jenis-jenis kerongsang istimewa yang dijual syarikat. Bolehlah pembaca semua menjamu mata dan menghubungi saya melalui emel/facebook untuk bertanyakan tentang harga. Tentulah syarikat akan menawarkan harga yang lebih rendah bagi pembeli yang ingin membeli secara pukal supaya mereka boleh menjual semula dan beroleh keuntungan.

Brooch Orchid Petal: RM2/unit
Brooch Daisy Petal: RM2/unit
Brooch Gathered Petal: RM2/unit
Brooch Pointed Petal: RM2/unit
Brooch Round Petal: RM2/unit

20 Januari 2014

Amalan Keselamatan di Bengkel Jahitan.

Selamat tahun baru! Saya harap, semua pelawat yang mengikuti atau membaca blog saya telah pun memulakan usaha untuk mencapai target tahun 2014. Allah pasti memberi kesihatan dan kekuatan yang luar biasa untuk kita tahun ini. Post baru untuk tahun, saya ingin menyentuh berkenaan amalan keselamtan di bengkel jahitan. Sejak belajar di Giatmara, Sg. Rambai (2006)... saya telah dilatih untuk mengamalkan beberapa amalan keselamatan. Cikgu Jamilah dan Cikgu Nani amat menitik beratkan amalan keselamatan ini dan memang kami amalkan setiap hari. Walaupun ada kalanya saya merungut-rungut sendiri bertanyakan apakah rasionalnya saya bertugas mengelap pintu & mesin? Namun apabila mempunyai bengkel jahitan sendiri, barulah saya faham tujuan cikgu memaksa kami membuat perkara yang sebegitu. Tentulah ianya bertujuan memberikan penampilan yang menarik terhadap bengkel dan mesin. Wah, kalau bengkel berada dalam keadaan berhabuk... apa pula pandangan pertama para pelanggan! Tentulah seisi bengkel ini PEMALAS! Paling memalukan, kami semua perempuan :P.

Saya dan staf yang mengendalikan mesin jahit industri 250W akan memakai selipar getah. Ia bertujuan untuk menyerap arus elektrik yang 'terlepas' mengalir di mesin. Cikgu Jamilah kata, ia dapat mengurangkan bisa-bisa di kaki bila tua nanti. Memanglah benar kerana ada di kalangan rakan-rakan saya yang telah 15-20 tahun menjahit, mengadu lemah dan bisa-bisa di kaki. Di bahagian pedal mesin memang ada pad getah untuk menyerap arus elektrik tetapi pemakaian selipar getah juga membantu :).

Selipar getah
Mari kita ikuti langkah keselamatan yang berikutnya.Setiap premis perniagaan mesti mempunyai alat pemadam api. Jenis alat pemadam api bergantung kepada apakah barang yang ada di dalam premis. Untuk bengkel jahitan, jenisnya ialah ABC Powder. Ia boleh dibeli di mana-mana kedai yang menjual alat pemadam api. Seingat saya, harga bagi tong baru dan isinya ialah RM 80. Ia juga mesti diperiksa semula, setahun kemudian. Harga perkhidmatannya ialah RM 15. Biasanya syarikat yang menjual alat ini menyediakan khidmat pemeriksaan. Bomba Malaysia yang menentukan bahawa alat ini selamat di pakai. Alat ini diwajibkan oleh pihak berkuasa tempatan diletakkan di tempat yang mudah dilihat. Semasa minggu orientasi di Giatmara, kami diberi peluang mencuba menggunakan alat ini.

Alat pemadam api




Hah! Wiser di mesin jahit tepi! Alat ini amat saya jagai. Ia berfungsi untuk melindungi pengendali sekiranya jarum mesin patah. Saya memang tidak membenarkan staf mengangkat wiser ini ketika mengendalikan mesin. Di mesin jahit tepi, bukan sahaja ada kemungkinan jarum patah, kita juga berdepan dengan risiko pisau memotong fabrik longgar dan tercabut. Mesin jahit tepi industri berkeupayaan 3000-5000 rpm! Sekiranya wiser ini patah atau tercabut, gantikan dengan yang baru ya. Malang tidak berbau.

Wiser



Akhir sekali, penggunaan alat yang tepat. Kedua-dua staf saya LEFTY! Apabila mereka menggunakan peralatan di tangan kanan, jari mereka akan sakit dan luka. Sungguh kasihan :(. Jadi saya membeli gunting khusus untuk mereka. Gunting yang berhulu oren tu untuk kedua staf saya. Saya beli di kedai maya Andihali (Encik Azmin Apandi). Alat untuk mereka memang terhad di pasaran tetapi masih boleh didapati. Cuba anda perhatikan ketiga-tiga hulu gunting ini. Ada perbezaankan? Bagi kita yang kurang halus penelitiannya, memang akan pukul rata sahaja berkenaan alat memotong ini. Gunting berhulu hitam itu untuk yang si tangan kanan, hulu oren untuk yang si tangan kiri, yang satu lagi... dua-dua boleh pakai :).

Gunting
In sha Allah, berjumpa lagi nanti. Publish! :)