25 Jun 2013

Kerjaya Dalam Bidang Jahitan

Sekarang, ramai dari kalangan rakan-rakan saya sudah pun menutup tempahan pakaian untuk digayakan pada hari lebaran. Hari-hari mendatang hingga akhir Ramadhan, kami akan bertungkus-lumus menyiapkan tempahan. Waktu mula-mula menawarkan perkhidmatan menjahit pakaian, selesai solat Subuh... saya akan memandu terus ke bengkel. Saya akan menutup terimaan tempahan pada awal Ramadhan. Tempahan pula menjangkau 100 pasang! Syukur, semua tempahan siap tepat pada waktu. Ia kesan terapan dan didikan guru tempat saya mula-mula belajar menjahit.

Ini bengkel saya. Sebenarnya ia rumah ayah, tempat kami tinggal masa kecil.
Beberapa tahun selepas itu saya dengan izin Allah dan sokongan keluarga telah meneroka segmen pembekalan alat jahit. Mula-mula, saya diberi kepercayaan oleh Giatmara Sdn. Bhd. untuk membekal alat jahit. Terima kasih kepada cikgu saya, Puan Jamilah yang menerima begitu banyak kesilapan ketika saya menjalankan kerja-kerja pembekalan. Dan beliau masih menggunakan khidmat syarikat saya hingga kini. Syarikat saya juga telah membekalkan alat jahit dan mesin kepada beberapa jabatan kerajaan yang lain. Segmen ini menjana pendapatan kedua terbesar syarikat.

Pembekalan mesin jahit
Segmen yang paling saya gemari ialah latihan. Saya suka bertemu dengan 'orang yang tidak tahu tetapi mahu belajar'. Oleh yang demikian, syarikat saya menawarkan pelbagai modul selain baju dan langsir. Saya menyediakan modul-modul kraftangan yang boleh dibawa ke mana sahaja dan berjumpa dengan sejauh mungkin peserta. Mulai 1 Januari 2013 Sehingga 20 Jun 2013, syarikat telah melatih seramai 163 orang peserta di bawah pelbagai program. Ada yang percuma, ada yang berbayar.


Saya tahu, ramai rakan di luar sana yang boleh menyatakan beberapa lagi jenis kerjaya. Semoga dengan post saya kali ini, para graduan yang baru keluar dari mana-mana institut latihan kemahiran boleh memilih arah tuju kerjaya mereka. Ingin saya rumuskan di sini tentang beberapa jenis kerjaya dalam bidang jahitan:
  1. Jurujahit
  2. Jurupotong
  3. Pengurus syarikat
  4. Tenaga pengajar
  5. Pembekal
  6. Pereka Fesyen
  7. Pensyarah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan