15 Julai 2013

PASAR RAMADHAN: PENGALAMAN YANG BERHARGA



Ramadhan kali ini, syarikat memutuskan untuk menyewa tapak Pasar Ramadhan di Pekan Merlimau. Perniagaan runcit merupakan satu sektor dalam syarikat yang kurang berkembang. Bukanlah mudah bagi sebuah entiti untuk meneroka sektor peruncitan kerana terdapat beberapa perkara yang perlu dihalusi sebelum meneruskan teroka, di antaranya ialah:

1.       Tenaga kerja
2.       Sistem rekod
3.       Stok
4.       Modal
5.       Tempat
6.       Produk


Namun Ramadhan kali ini, syarikat dapat mengatasi halangan pertama iaitu tenaga kerja. Kebetulan pada ketika ini syarikat mempunyai 2 tenaga kerja mahir, 1 tenaga kerja berpendidikan tinggi & 2 pelatih Giatmara dari Selatan Thailand. Oleh yang demikian, tentulah Allah mengizinkan saya selaku pengurus syarikat untuk mengembangkan sektor peruncitan dalam syarikat yang statik sejak penubuhan 2006.

Setelah mempertimbangkan variasi produk, akhirnya kami memilih untuk memasarkan 4 jenis produk. Pemilihan ini tidaklah semata-mata bersandarkan ‘keupayaan meneka’ tetapi berdasarkan pengalaman dan jualan para pelatih yang telah menerima latihan kemahiran yang dikendalikan oleh syarikat. Berikut merupakan senarai produk yang kami niagakan:

1.       Kusyen manggis
2.       Kusyen bunga raya
3.       Beg bimbit
4.       Kerongsang
Brooch Felt

Setelah 3 hari Ramadhan berlalu… saya sememangnya mengalami kejutan! Rupa-rupanya sektor peruncitan adalah sama sekali berbeza dengan sektor pembekalan, pembuatan & latihan. Sektor ini memaksa saya TERSENYUM dan BERAMAH-TAMAH dengan pelanggan yang saya temui. Sesuatu yang jarang sekali saya pamerkan kepada khalayak. Sungguh tidak percaya bahawasanya saya mempunyai DAYA PUJUK atau MULUT MANIS yang sederhana. Para peniaga lain boleh ‘melaung-laung’ memanggil pelanggan, saya cuma boleh berkata… ‘Singgah puan…’. 

Kusyen Bunga Raya
Apabila pelanggan datang dan berlalu pergi tanpa membeli, saya berada dalam kehampaan yang berminit-minit lamanya sambil bertanya kepada diri sendiri… WHY? Pulang ke rumah, saya gusar memikirkan hari berikutnya. Ketua Jabatan Pasar Ramadhan syarikat saya (Cik Wani) berkali-kali menenangkan saya, kata beliau… ‘Sehari dua ni orang akan survey dulu puan. Lagi pun mereka sedang menumpukan perhatian kepada makanan, nanti mereka akan datang membeli di gerai kita.’ Jauh di sudut hati, saya mengutuk diri sendiri… 'Kenapa pula saya tak percaya?’

Ekoran telah menyandarkan semua harapan kepada Allah maka meningkatlah rasa kehambaan kepadaNya. Inilah antara kemanisan yang saya temui di Pasar Ramadhan tahun ini. Dengan sokongan staf, pelatih dan keluarga, operasi Pasar Ramadhan kali ini berjalan semakin lancar. Ya, jualan meningkat demi hari dan mudah-mudahan kami tidak melupakan ALLAH. Saya dan staf saling berpesan dan mengingatkan agar tidak meninggalkan solat walaupun berniaga. Anak saudara saya, Fatin ‘Aisyah juga saya jangka telah memasuki satu alam lain yang tidak saya lalui ketika remaja iaitu berniaga di Pasar Ramadhan.

Dari kiri: Cik Kluesong, Cik Wani & Cik Saidah
Terima kasih yang tidak terhingga kepada 2 Ketua Jabatan saya iaitu Ketua Jabatan Pasar Ramadhan (Cik Wani) dan Ketua Jabatan Pembuatan & Pengeluaran (Cik Zaharah) yang banyak membantu menjayakan misi syarikat. Juga Puan Ina, staf di Jabatan Pembuatan & Pengeluaran serta Cik Kluesong & Cik Saidah, Pelatih Giatmara dari Selatan Thailand yang membantu Cik Wani. Along, mak dan rakan-rakan yang membantu menjual produk secara online & offline. Budi baik semua, ucapan terima kasih jua yang saya titipkan. Salam Ramadhan penuh kasih sayang. Semoga kita kekal berada di bawah lembayung rahmatNya. Publish!

1 ulasan:

  1. Alhamdulillah..percubaan yang baik kak.. saya pun belum boleh pergi ke peringkat tu lagi atas komitmen kerja hakiki.. tp saya jadikan pengalaman akak sbg rujukan sy utk perancangan masa dpn.. skrg ni pun sy memang terasa persaingan perniagaan di internet pun sangat mencabar sehingga merasakan apa silap saya.. tp kita tetap kene berpegang pada tali ALLAH yang rezeki dtg daripadaNYA..

    BalasPadam