19 Januari 2013

Lesen-lesen Perniagaan



Pada tahun-tahun awal perniagaan, tentu ramai dari kalangan kita tertanya-tanya apakah syarat untuk mendapatkan lesen perniagaan? Tidak lama selepas itu, apa pula lesen yag perlu ada untuk berurusan dengan pelanggan selain ‘walk in’? Dalam ‘post’ kali ini, saya hendak berkongsi peringkat-peringkat atau syarat-syarat untuk memperoleh lesen perniagaan. Perkara ini pernah saya masukkan di bawah tajuk dalam Program Kebolehpasaran Kolej Komuniti Bukit Beruang. Program ini dikendalikan oleh syarikat saya sekitar tahun 2010.

Ada peniaga yang berniaga di rumah dengan mendaftarkan syarikat mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Alamat yang digunakan juga alamat rumah. Isilah Borang E di Suruhanjaya Syarikat. Borang ini percuma. Bayaran yang dikenakan pula merupakan bayaran pendaftaran bagi nama syarikat selain nama sendiri ialah RM 60. Bagi nama syarikat menggunakan nama sendiri RM 30. Seeloknya bersedialah dengan 5 nama yang berlainan kerana pasti ada nama yang telah didaftarkan. Rancang juga jenis-jenis perniagaan misalnya menjahit, menjual pakaian siap dan mengadakan kelas menjahit. 

Anda naik setingkat lagi apabila dapat berniaga di premis milik syarikat swasta atau pihak berkuasa tempatan. Anda memerlukan satu lesen lagi iaitu lesen dari pihak berkuasa tempatan. Majlis Perbandaran Jasin misalnya merupakan pihak berkuasa tempatan yang memproses pengeluaran lesen di tempat saya. Ada beberapa syarat lebih ketat yang perlu diikuti antaranya menyediakan tong sampah dan alat pemadam api. Bagi papan tanda, anda mempunyai pilihan untuk memasangnya atau tidak. PK-JKP-001/R1 merupakan borang permohonan lesen premis perniagaan di Majlis Perbandaran Jasin. Bayaran proses ialah RM 10. Perlu saya tekankan di sini,  bayaran atau syarat adalah berbeza mengikut tempat pihak berkuasa tempatan. Kadar bayaran lesen pada tahun tersebut adalah mengikut tred perniagaan seperti yang termaktub dalam perjanjian peniaga dengan pemilik premis. Lesen saya misalnya, lebih mahal kerana berada di bawah tred pusat latihan. Jika tred bagi kedai jahit, lebih murah.

Kedai saya


Apabila ingin berurusan atau berniaga dengan agensi kerajaan, kita perlu berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia. Bagi 10 tajuk pertama, bayarannya RM 450. Untuk medium akses pula sekitar RM 200. Namun ada kira-kira 30 tajuk sahaja yang boleh didaftarkan sekiranya anda berniaga di rumah. Tentulah syarat bagi memperoleh lesen ini adalah yang paling ketat kerana ia melibatkan perolehan yang tinggi. Anda perlu menyertakan peta lakaran ke premis, no. caruman KWSP, carta organisasi syarikat dan jumlah modal. Agak memeningkan juga apabila ingin mendapatkan lesen dengan Kementerian Kewangan Malaysia tetapi jika anda telah melaksanakan norma-norma perniagaan yang sepatutnya, anda sama sekali tidak berdepan dengan masalah yang rumit.

Adalah mustahil untuk kita mendapatkan ketiga-tiga lesen serentak kerana setiap syarikat akan tumbuh seumpama biji benih yang kecil kemudian membesar menjadi pokok. Saya sendiri mempunyai lesen dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada tahun 2006, lesen dari Kementerian Kewangan Malaysia pada tahun 2009 dan lesen Majlis Perbandaran Jasin pada tahun 2011. Apabila anda berpeluang untuk membesarkan perniagaan, lakukanlah. Membiarkan perniagaan kekal pada satu-satu tahap yang statik dalam jangka masa 5-10 tahun adalah merugikan. Memiliki lesen bukanlah satu perkara yang mudah bahkan menuntut anda memenuhi sebilangan banyak tanggungjawab kepada beberapa agensi seperti KWSP, PERKESO, LHDN dan Pusat Zakat. Saya bekerja kuat untuk memastikan pendapatan syarikat berupaya mengimbangi perbelanjaan-perbelanjaan yang wajib dikeluarkan untuk lesen-lesen yang syarikat saya miliki serta berupaya menunaikan tanggungjawab kepada agensi-agensi yang berkaitan. Semoga anda juga begitu. 

Jumpa lagi nanti, in sha Allah. ‘Publish!’.

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum...kalau meniaga di rumah perlu mohon lesen majlis perbandaran ke? Perniagaan jahitan tapi alhamdulilah semakin berkembang dah macam kedai pakaian..

    BalasPadam