06 Ogos 2014

Siri Latihan Kemahiran: Go Green!

Assalammualaikum,

Selamat Hari Raya semua. Kepada rakan-rakan jurujahit yang telah berjaya menghabiskan tempahan hari raya, tentu berdepan dengan keadaan baki kain bersaiz kecil. Banyak pula tu! Justeru, saya mencadangkan agar baki kain tersebut digunakan bagi menghasilkan produk sampingan. Dapat juga kita jual dan menyelamatkan alam sekitar. Bagi yang mempunyai premis atau ruang kerja yang terhad, saya mencadangkan agar kita tidak menyimpan baki kain terlalu lama. Sebenarnya saya tahu, kita sayang utk membuangnya. Begitulah tabiat saya pada awal perniagaan.

Modul 'Go Green': Siri 'Heavy Cotton'

Modul 'Go Green: Siri 'Printed Felt'

Pada tahun ketiga berniaga, saya membuang tabiat mengumpul baki kain kerana premis yang saya sewa terlalu sempit untuk saya berbuat begitu. Selanjutnya hingga tahun kelapan, saya mendapat idea untuk menghasilkan produk pula. Terima kasih kepada puan Wahidah Choo yang sudi menjual notanya kepada saya. Allah tentu melimpahkan begitu banyak rezeki kepada beliau kerana memanjangkan ilmu kepada orang lain. Produk ini juga saya jual di Pasar Ramadhan Merlimau tahun ini. Ternyata ramai juga pembelinya.

Bagi kumpulan yang mempunyai bajet terhad, namun ingin meminta saya datang untuk mengajar... mereka boleh juga mendapatkan sebutharga bahan dan bayaran tenaga pengajar. Mohon nyatakan tarikh dan modul yang mana ya :) tetapi jangan terkejut-terkejut pula. Berilah saya sedikit masa untuk 'packing' bahan dan menyiapkan mesin serta peralatan lain. Tentang mesin, jangan risau... syarikat mempunyai 7 buat mesin mudah alih untuk digunakan semasa latihan. Kapasiti maksimum kelas ialah 15 orang.

Semoga berjumpa lagi In Sha Allah. Publish!

21 April 2014

Latihan Kemahiran di Mini RTC

April 2014 saya berpeluang menjalankan latihan kemahiran di 3 Mini RTC di Negeri Sembilan. Dengan izin Allah, tercapai juga hasrat saya untuk 'berjalan lebih jauh' dan bekerja keras dalam menyampaikan latihan (janji tahun lalu). Saya menyampaikan peruntukan bagi Kursus 3L (Long Life Learning) dari Komuniti Giatmara Ledang.

Pagi yang damai di Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan
Perjalanan dari Melaka ke Kuala Klawang memakan masa selama 2 jam 40 minit. Saya dan staf menginap di pekan Kuala Klawang. Sehari sebelum kursus bermula, kami mencari kedudukan Mini RTC Felcra Lakai Utara dan Mini RTC Gagu. Di Melaka, untuk menemui satu demi satu Mini RTC amatlah mudah dan tidak memakan masa yang lama. Namun apa yang mengagumkan saya, Negeri Sembilan ini walaupun comel, kedudukan Mini RTC betul-betul di desa! Saya juga menaruh hati, bagaimana para pengurus Mini RTC ini istiqamah dalam menjalankan tugas mereka. Jika para pembaca kurang percaya, kunjungilah mereka. Saya rasa para pengurus Mini RTC seluruh Malaysia patut diraikan atas dedikasi mereka terhadap tugas.

Jumaat, saya ke Mini RTC Felcra Lakai Utara. Menjalankan modul Kerongsang Kanzashi. Saya tidak sedar yang kami menghampiri sempadan Pahang! Sehingga saya nampak 'Karak 65km'? Wah, bagaimana saya boleh berada di sini? (Kehairanan sendiri). Sambutan mesra Pengurus Mini RTC Felcra Lakai Utara (Cik Hayat) masih saya teringat hingga kini.

Kerongsang Kanzashi
Hari kedua, saya ke Mini RTC Gagu bagi melunaskan modul Tote Bag Modified.  Di sini, kami disajikan dengan para peserta yang ramah. Kedudukan Mini RTC Gagu juga terletak agak jauh dari jalan besar sehingga saya berasa was-was sama ada jalan yang saya lalui betul atau tidak. Tidak terasa saya yang baru berbadan dua ini ketika menyampaikan latihan di sini. Aroma tempoyak yang menikam kalbu ketika jamuan makan tengahari. Demi malu untuk menyuruh staf saya mencuit sedikit tempoyak itu, saya menyimpan hasrat kembali ke sana lagi. Selain untuk menyampaikan latihan, saya akan minta Cik Zai (Pengurus Mini RTC Gagu) menyimpankan sedikit tempoyak utk saya nanti.


Tote Bag Modified




Destinasi terakhir kami ialah Mini RTC Felcra Rompin. Para pengurus yang komited ini telah menghantar senarai nama peserta yang lengkap kepada saya seawal Januari 2014 lagi. Oleh yang demikian, bagi para pengurus lain yang lewat menghantar nama, janganlah marah ya sekiranya bajet bagi program ini telah habis ditempah. Dengan panduan lisan dari Cik Fairuz (Pengurus Mini RTC Felcra Rompin) kami menuju ke Bahau dan menginap di sana. Pada awal pagi, Cik Fairuz menjemput kami di hotel, membawa kami bersarapan dan terus ke Mini RTC Felcra Rompin kendalian beliau. Kali ini, saya sangka Cik Fairuz pula yang tersalah jalan kerana perjalanan kami lebih jauh ke dalam berbanding di Felcra Lakai. Lucu pula apabila saya ingati tatkala sendirian. Di sini, modul yang disampaikan ialah Reversible Bag. Meskipun bekalan elektrik terputus sebanyak 2 kali, akhirnya semua peserta dapat menyiapkan beg mereka dan bergambar penuh gaya.

Reversible Bag














Memang ada yang bertanya, berbaloikah saya datang dari Melaka dengan bajet yang kecil? Jawab saya... wang memanglah penting tetapi saya lebih gemar mendahulukan kesukaan saya iaitu bertemu dan bekerja dengan ramai orang. Ia menguji sifat-sifat keusahawanan saya. Lagipun saya suka lebih ramai orang tahu berkenaan sesuatu perkara berbanding hanya saya sahaja yang tahu. Semoga ada di antara peserta yang menerima latihan ini akan menjadi usahawan yang berjaya :). In sha Allah, jumpa lagi ya.