20 Januari 2014

Amalan Keselamatan di Bengkel Jahitan.

Selamat tahun baru! Saya harap, semua pelawat yang mengikuti atau membaca blog saya telah pun memulakan usaha untuk mencapai target tahun 2014. Allah pasti memberi kesihatan dan kekuatan yang luar biasa untuk kita tahun ini. Post baru untuk tahun, saya ingin menyentuh berkenaan amalan keselamtan di bengkel jahitan. Sejak belajar di Giatmara, Sg. Rambai (2006)... saya telah dilatih untuk mengamalkan beberapa amalan keselamatan. Cikgu Jamilah dan Cikgu Nani amat menitik beratkan amalan keselamatan ini dan memang kami amalkan setiap hari. Walaupun ada kalanya saya merungut-rungut sendiri bertanyakan apakah rasionalnya saya bertugas mengelap pintu & mesin? Namun apabila mempunyai bengkel jahitan sendiri, barulah saya faham tujuan cikgu memaksa kami membuat perkara yang sebegitu. Tentulah ianya bertujuan memberikan penampilan yang menarik terhadap bengkel dan mesin. Wah, kalau bengkel berada dalam keadaan berhabuk... apa pula pandangan pertama para pelanggan! Tentulah seisi bengkel ini PEMALAS! Paling memalukan, kami semua perempuan :P.

Saya dan staf yang mengendalikan mesin jahit industri 250W akan memakai selipar getah. Ia bertujuan untuk menyerap arus elektrik yang 'terlepas' mengalir di mesin. Cikgu Jamilah kata, ia dapat mengurangkan bisa-bisa di kaki bila tua nanti. Memanglah benar kerana ada di kalangan rakan-rakan saya yang telah 15-20 tahun menjahit, mengadu lemah dan bisa-bisa di kaki. Di bahagian pedal mesin memang ada pad getah untuk menyerap arus elektrik tetapi pemakaian selipar getah juga membantu :).

Selipar getah
Mari kita ikuti langkah keselamatan yang berikutnya.Setiap premis perniagaan mesti mempunyai alat pemadam api. Jenis alat pemadam api bergantung kepada apakah barang yang ada di dalam premis. Untuk bengkel jahitan, jenisnya ialah ABC Powder. Ia boleh dibeli di mana-mana kedai yang menjual alat pemadam api. Seingat saya, harga bagi tong baru dan isinya ialah RM 80. Ia juga mesti diperiksa semula, setahun kemudian. Harga perkhidmatannya ialah RM 15. Biasanya syarikat yang menjual alat ini menyediakan khidmat pemeriksaan. Bomba Malaysia yang menentukan bahawa alat ini selamat di pakai. Alat ini diwajibkan oleh pihak berkuasa tempatan diletakkan di tempat yang mudah dilihat. Semasa minggu orientasi di Giatmara, kami diberi peluang mencuba menggunakan alat ini.

Alat pemadam api




Hah! Wiser di mesin jahit tepi! Alat ini amat saya jagai. Ia berfungsi untuk melindungi pengendali sekiranya jarum mesin patah. Saya memang tidak membenarkan staf mengangkat wiser ini ketika mengendalikan mesin. Di mesin jahit tepi, bukan sahaja ada kemungkinan jarum patah, kita juga berdepan dengan risiko pisau memotong fabrik longgar dan tercabut. Mesin jahit tepi industri berkeupayaan 3000-5000 rpm! Sekiranya wiser ini patah atau tercabut, gantikan dengan yang baru ya. Malang tidak berbau.

Wiser



Akhir sekali, penggunaan alat yang tepat. Kedua-dua staf saya LEFTY! Apabila mereka menggunakan peralatan di tangan kanan, jari mereka akan sakit dan luka. Sungguh kasihan :(. Jadi saya membeli gunting khusus untuk mereka. Gunting yang berhulu oren tu untuk kedua staf saya. Saya beli di kedai maya Andihali (Encik Azmin Apandi). Alat untuk mereka memang terhad di pasaran tetapi masih boleh didapati. Cuba anda perhatikan ketiga-tiga hulu gunting ini. Ada perbezaankan? Bagi kita yang kurang halus penelitiannya, memang akan pukul rata sahaja berkenaan alat memotong ini. Gunting berhulu hitam itu untuk yang si tangan kanan, hulu oren untuk yang si tangan kiri, yang satu lagi... dua-dua boleh pakai :).

Gunting
In sha Allah, berjumpa lagi nanti. Publish! :)

20 Disember 2013

Tahun 2013: Pembekalan Mesin

2013 hampir melabuhkan tirai. Pelbagai peristiwa telah berlaku dan saya melalui 2013 dengan seronok apabila berpeluang meneroka beberapa kerja baru dan menjalin kerjasama baru bersama pelbagai pihak dalam menyampaikan latihan kemahiran. Syarikat telah pergi sejauh Pedas, Negeri Sembilan dan Kulai, Johor untuk memberitahu sebilangan kecil kumpulan tentang ilmu berkaitan jahitan. Untuk tahun mendatang, saya berjanji untuk bekerja dengan lebih keras tentang penyampaian ilmu jahitan. Syarikat tidak mensasarkan keuntungan yang besar walaupun tidak dapat dinafikan kepentingan wang dalam perniagaan.

Telah direzekikan ALLAH juga, syarikat berpeluang menjalankan kerja baik pulih dan selenggara mesin. Sesuatu yang baru! Saya gembira melakukan apa-apa perkara berkaitan jahitan, bahan jahitan dan mesin jahit. Tidak hanya mengetahui tentang pembuatan pakaian dan pembekalan alat, saya juga telah mahir dalam sedikit perkara teknikal berkaitan mesin jahit. Begitulah, jika minat tentang sesuatu... hampir tiada halangan untuk belajar dan mahir mengenainya sungguhpun dalam tempoh yang singkat. Sukacita dimaklumkan, syarikat juga telah membekalkan mesin untuk kegunaan khusus iaitu menjahit butang dan lubang butang. Harga bagi salah satu mesin tersebut ialah RM15 000.00!


Untuk segmen kraftangan, syarikat menyaksikan perkembangan pesat dalam jualan dan perbelanjaan modal. Jualan bagi kraftangan bukan hanya tertumpu pada kraftangan, ia juga meliputi khidmat latihan dan jualan bahan serta alat. Bagi kraftangan, saya ingin cuba melatih seberapa ramai peserta OKU dan tenaga pengajarnya tahun depan dengan tujuan supaya mereka dapat menghasilkan produk berkaitan kraftangan sekaligus memasarkannya. Tiada yang lebih menggembirakan apabila dapat melihat bekas pelatih saya dapat mencari dan menambah rezeki dengan menggunakan ilmu yang mereka perolehi.






Dalam mengaktifkan saluran-saluran jualan seperti facebook, blog, laman web, fan page, pasar tani, pasar ramadhan, walk in customer dan lain-lain... syarikat juga melalui pengalaman pahit ditipu oleh pembina laman web. Saya menasihatkan pembaca agar berhati-hati apabila berurusan dalam talian. Ada juga yang tak bayar, tetapi mengubahsuai resit dalam format PDF (nampak macam dah bayar)! Sangat kesal apabila berlaku perkara yang sebegini. Ada juga yang membuat order list yang panjang tetapi akhirnya membatalkan semua order list itu. Dihujungnya saya percaya, setiap ujian datang dariNYA dan pasti juga ia adalah pembayaran kepada dosa-dosa saya. Saya redha.

Setelah sejauh ini berjalan, hampir masuk tahun ke 7 dalam perniagaan... saya yakin inilah jalan yang telah ALLAH lorongkan untuk saya. Saya beristikharah setelah 2 tahun menganggur dulu, saya bermimpi menjahit. Walaupun berkelulusan Ijazah Sarjanamuda Pengurusan Hal-Ehwal Antarabangsa (Kepujian), major Undang-undang Antarabangsa & minor Diplomasi, jalan ini jugalah yang ALLAH pilih untuk saya. Tidak saya kesali. Amat-amat pahit apabila saya tidak menyertai arus perdana seperti rakan lain yang menggunakan ijazah mereka untuk bekerja. Saya di'reject' ketika menawarkan diri menjadi menantu & isteri hanya kerana saya menjahit. Mak cik tu nak anak dia kawin dengan orang yang bergaji. (Sekarang, anak mak cik tu memang kawin dengan orang yang bergaji, cikgu... menantu dia). Saya juga dulu malu menyertai perjumpaan tahunan rakan-rakan sekolah SMK Sharifah Rodziah, Melaka kerana tak tahu nak cakap saya kerja apa?, gaji berapa? dan 'post' apa?

Sungguhpun begitu, saya kini diberi ALLAH lebih dari apa yang saya minta. Setiap detik selepas mengenangkan perkara lalu, saya sentiasa menitipkan kesyukuran. Sayalah sesungguhnya sama sekali tidak mengetahui apa yang saya minta, ALLAH jualah yang MAHA MENGETAHUI. Saya sangka bekerja dengan ijazah itu terbaik untuk saya namun Sijil Kemahiran Malaysia inilah yang terbaik untuk saya. Cerita saya ini telah saya bawakan ketika dijemput untuk memberi ceramah motivasi kepada pelatih Giatmara, Jasin. Jika ada walau seorang yang faham, saya amat berpuas hati. Dengan jahitan ini juga, saya merasa dibayar RM 1200.00 sehari untuk menjadi Panel Penilai Industri untuk modul yang ditawarkan di Kolej Komuniti! Yang kita sangka buruk itu ujian, yang baik juga ujian... sebagai manusia, ujian itu sentiasa berada disekeliling kita.

IN SHA ALLAH, berjumpa lagi di tahun 2014 nanti! Publish!