20 Januari 2014

Amalan Keselamatan di Bengkel Jahitan.

Selamat tahun baru! Saya harap, semua pelawat yang mengikuti atau membaca blog saya telah pun memulakan usaha untuk mencapai target tahun 2014. Allah pasti memberi kesihatan dan kekuatan yang luar biasa untuk kita tahun ini. Post baru untuk tahun, saya ingin menyentuh berkenaan amalan keselamtan di bengkel jahitan. Sejak belajar di Giatmara, Sg. Rambai (2006)... saya telah dilatih untuk mengamalkan beberapa amalan keselamatan. Cikgu Jamilah dan Cikgu Nani amat menitik beratkan amalan keselamatan ini dan memang kami amalkan setiap hari. Walaupun ada kalanya saya merungut-rungut sendiri bertanyakan apakah rasionalnya saya bertugas mengelap pintu & mesin? Namun apabila mempunyai bengkel jahitan sendiri, barulah saya faham tujuan cikgu memaksa kami membuat perkara yang sebegitu. Tentulah ianya bertujuan memberikan penampilan yang menarik terhadap bengkel dan mesin. Wah, kalau bengkel berada dalam keadaan berhabuk... apa pula pandangan pertama para pelanggan! Tentulah seisi bengkel ini PEMALAS! Paling memalukan, kami semua perempuan :P.

Saya dan staf yang mengendalikan mesin jahit industri 250W akan memakai selipar getah. Ia bertujuan untuk menyerap arus elektrik yang 'terlepas' mengalir di mesin. Cikgu Jamilah kata, ia dapat mengurangkan bisa-bisa di kaki bila tua nanti. Memanglah benar kerana ada di kalangan rakan-rakan saya yang telah 15-20 tahun menjahit, mengadu lemah dan bisa-bisa di kaki. Di bahagian pedal mesin memang ada pad getah untuk menyerap arus elektrik tetapi pemakaian selipar getah juga membantu :).

Selipar getah
Mari kita ikuti langkah keselamatan yang berikutnya.Setiap premis perniagaan mesti mempunyai alat pemadam api. Jenis alat pemadam api bergantung kepada apakah barang yang ada di dalam premis. Untuk bengkel jahitan, jenisnya ialah ABC Powder. Ia boleh dibeli di mana-mana kedai yang menjual alat pemadam api. Seingat saya, harga bagi tong baru dan isinya ialah RM 80. Ia juga mesti diperiksa semula, setahun kemudian. Harga perkhidmatannya ialah RM 15. Biasanya syarikat yang menjual alat ini menyediakan khidmat pemeriksaan. Bomba Malaysia yang menentukan bahawa alat ini selamat di pakai. Alat ini diwajibkan oleh pihak berkuasa tempatan diletakkan di tempat yang mudah dilihat. Semasa minggu orientasi di Giatmara, kami diberi peluang mencuba menggunakan alat ini.

Alat pemadam api




Hah! Wiser di mesin jahit tepi! Alat ini amat saya jagai. Ia berfungsi untuk melindungi pengendali sekiranya jarum mesin patah. Saya memang tidak membenarkan staf mengangkat wiser ini ketika mengendalikan mesin. Di mesin jahit tepi, bukan sahaja ada kemungkinan jarum patah, kita juga berdepan dengan risiko pisau memotong fabrik longgar dan tercabut. Mesin jahit tepi industri berkeupayaan 3000-5000 rpm! Sekiranya wiser ini patah atau tercabut, gantikan dengan yang baru ya. Malang tidak berbau.

Wiser



Akhir sekali, penggunaan alat yang tepat. Kedua-dua staf saya LEFTY! Apabila mereka menggunakan peralatan di tangan kanan, jari mereka akan sakit dan luka. Sungguh kasihan :(. Jadi saya membeli gunting khusus untuk mereka. Gunting yang berhulu oren tu untuk kedua staf saya. Saya beli di kedai maya Andihali (Encik Azmin Apandi). Alat untuk mereka memang terhad di pasaran tetapi masih boleh didapati. Cuba anda perhatikan ketiga-tiga hulu gunting ini. Ada perbezaankan? Bagi kita yang kurang halus penelitiannya, memang akan pukul rata sahaja berkenaan alat memotong ini. Gunting berhulu hitam itu untuk yang si tangan kanan, hulu oren untuk yang si tangan kiri, yang satu lagi... dua-dua boleh pakai :).

Gunting
In sha Allah, berjumpa lagi nanti. Publish! :)