25 Jun 2013

Kerjaya Dalam Bidang Jahitan

Sekarang, ramai dari kalangan rakan-rakan saya sudah pun menutup tempahan pakaian untuk digayakan pada hari lebaran. Hari-hari mendatang hingga akhir Ramadhan, kami akan bertungkus-lumus menyiapkan tempahan. Waktu mula-mula menawarkan perkhidmatan menjahit pakaian, selesai solat Subuh... saya akan memandu terus ke bengkel. Saya akan menutup terimaan tempahan pada awal Ramadhan. Tempahan pula menjangkau 100 pasang! Syukur, semua tempahan siap tepat pada waktu. Ia kesan terapan dan didikan guru tempat saya mula-mula belajar menjahit.

Ini bengkel saya. Sebenarnya ia rumah ayah, tempat kami tinggal masa kecil.
Beberapa tahun selepas itu saya dengan izin Allah dan sokongan keluarga telah meneroka segmen pembekalan alat jahit. Mula-mula, saya diberi kepercayaan oleh Giatmara Sdn. Bhd. untuk membekal alat jahit. Terima kasih kepada cikgu saya, Puan Jamilah yang menerima begitu banyak kesilapan ketika saya menjalankan kerja-kerja pembekalan. Dan beliau masih menggunakan khidmat syarikat saya hingga kini. Syarikat saya juga telah membekalkan alat jahit dan mesin kepada beberapa jabatan kerajaan yang lain. Segmen ini menjana pendapatan kedua terbesar syarikat.

Pembekalan mesin jahit
Segmen yang paling saya gemari ialah latihan. Saya suka bertemu dengan 'orang yang tidak tahu tetapi mahu belajar'. Oleh yang demikian, syarikat saya menawarkan pelbagai modul selain baju dan langsir. Saya menyediakan modul-modul kraftangan yang boleh dibawa ke mana sahaja dan berjumpa dengan sejauh mungkin peserta. Mulai 1 Januari 2013 Sehingga 20 Jun 2013, syarikat telah melatih seramai 163 orang peserta di bawah pelbagai program. Ada yang percuma, ada yang berbayar.


Saya tahu, ramai rakan di luar sana yang boleh menyatakan beberapa lagi jenis kerjaya. Semoga dengan post saya kali ini, para graduan yang baru keluar dari mana-mana institut latihan kemahiran boleh memilih arah tuju kerjaya mereka. Ingin saya rumuskan di sini tentang beberapa jenis kerjaya dalam bidang jahitan:
  1. Jurujahit
  2. Jurupotong
  3. Pengurus syarikat
  4. Tenaga pengajar
  5. Pembekal
  6. Pereka Fesyen
  7. Pensyarah

17 Jun 2013

Latihan Kemahiran di BAKAT 9

Beberapa ketika pada tahun ini, syarikat telah membawa 'touch point' Latihan Kemahiran 1 Malaysia ke BAKAT 9 RAMD. Sebetulnya saya dan pengerusi BAKAT 9 RAMD bertemu di alam maya sebelum latihan kemahiran dapat diadakan di tempat beliau. Beliau menemui saya di blog ini. Kali pertama, saya membawa Modul Sulaman Riben & Benang kepada kumpulan BAKAT ini.


Bagi satu-satu sesi latihan, ahli BAKAT akan menyertainya dan memberi sepenuh komitmen dan tumpuan kepada tenaga pengajar. Jarang sekali saya mengalami kekurangan jumlah peserta. Kerjasama dari mereka tidak terdapat pada mana-mana kumpulan yang pernah saya temui. Dek kerana dedikasi, mereka telah menerima lebih dari 10 modul bagi Latihan 1 Malaysia. Bermaksud, lebih 20 produk telah mereka pelajari cara membuatnya.

  
Kusyen Manggis





Seusai Latihan 1 Malaysia, mereka akan menyertai Program 3L insyaallah. Saya dihidangkan peserta yang suaminya akan bersara dan kemahiran yang dipelajari akan digunakan untuk menambah pendapatan dalam menjalani kehidupan selepas bersara nanti. Pada ketika saya menulis artikel ni, memang ada di kalangan mereka yang telah berpindah mengikut suami memulakan kehidupan baru. Saya menitipkan doa agar mereka dapat memanfaatkan semua ilmu yang telah diperolehi.






Pada pendapat saya, bagi satu-satu kumpulan yang mempunyai ketua yang berdedikasi dan proaktif, mereka akan menerima faedah yang banyak. Tindakan yang seterusnya ialah mengekalkan gerak kerja sebagai satu kumpulan. Saling mempercayai dan menghormati merupakan nilai penting dalam kehidupan berkumpulan. Maaf ya kerana tidak dapat memuatnaik gambar Rumah BAKAT 9 RAMD kerana para pelawat dilarang mengambil gambar di dalam kem. Insyaallah jika diizinkan, saya akan menjalankan Program 3L di BAKAT 1 RAD pula. Inilah perkhabaran yang saya ingin sampaikan dalam post terdahulu. Dekat di hati saya, saya ingin mengadakan latihan di PERKEP pula tetapi tiada akses untuk melakukannya.

Jumpa lagi Insyaallah. Publish!