26 Januari 2013

Perbezaan antara SKM dan lain-lain sijil kemahiran.



Post ini saya tulis kerana setiap kali habis sesi latihan di Giatmara, para junior dalam bidang jahitan akan bertanya kepada rakan-rakan usahawan saya yang senior. “Saya nak sambung belajar jahit tapi di mana?”. Harapan saya, post kali ini akan membantu sekumpulan kecil dari kita membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan hidup.

Terdapat 4 kementerian yang mengeluarkan sijil kemahiran dalam pelbagai bidang. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Kolej Komuniti, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kementerian Pembangunan Sumber Manusia melalui Institiut Latihan Industri (ILP) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melalui Kolej Kemahiran Tinggi Negara (KKTN), Institut Latihan Kemas dan Giatmara. 3 daripada 4 kementerian ini mensijilkan pelatih/pelajar melalui Sijil Kemahiran Malaysia iaitu KBS, Kementerian Pembangunan Sumber Manusia dan KKLW. KPT pula menawarkan sistem pensijilan modular yakni sistem pensijilan mereka yang tersendiri. Rumusan bagi perenggan ini, boleh saya terjemahkan kepada figura berikut:

KEMENTERIAN & SISTEM PENSIJILAN


SIJIL KEMAHIRAN MALAYSIA ( SKM )
Persijilan Kemahiran Malaysia ini menawarkan lima (5) tahap persijilan iaitu :

1.         Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1
2.         Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2    
3.         Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3
4.         Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4
5.         Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) Tahap 5

Rujukan: www.dsd.gov.my/

Dan struktur pekerjaannya atau jawatan boleh dirujuk kepada jadual berikut:

SUB SEKTOR: TEKSTIL & PAKAIAN (TEXTILE & APPAREL)
JAHITAN PAKAIAN (DRESSMAKING)


Rujukan: www.dsd.gov.my/

Bagi Sijil Modular Kebangsaan yang dijalankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pula, begini strukturnya.

SIJIL MODULAR KEBANGSAAN

 
Rujukan: http://www.jpkk.edu.my/jpkk/

Para pembaca tentu tertanya-tanya pula, siapa saya apabila saya boleh mengulas begitu panjang mengenai sistem pensijilan ini. Saya merupakan pemegang Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 Pembuat Pakaian Wanita Kanan dan Pembuat Pakaian Lelaki Kanan. Syarikat saya menjalankan Skim Latihan Dual Nasional di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran. Saya telah menjalani kursus induksi Pengurus Pusat Bertauliah, Pegawai Penilai Luar, Pegawai Penilai Dalaman dan Pegawai Penilai juga di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran. Dengan Giatmara, saya salah seorang TAC iaitu Technical Advice Committee bagi Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 di Giatmara, Jasin, Melaka. Saya juga merupakan Ahli Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka dari tahun 2011-2014. Saya pernah diundang sebagai Panel Industri bagi Bengkel Pembangunan Kurikulum Sijil Modular Kebangsaan pada 14 Mac 2012.

Pada pandangan saya, di mana-mana tempat menimba ilmu pun sama baiknya. Kejayaan dalam hidup bergantung kepada takdir dan usaha individu. Ada individu yang mempunyai sijil tetapi tidak menggunakan sijil yang ada. Tidak kurang juga sebilangan individu yang tidak mempunyai sebarang sijil tetapi berjaya. Bagi yang telah melewati usia 27 tahun, adalah lebih baik mengusahakan perniagaan dari memasang angan-angan untuk menjadi tenaga pengajar kerana selain telah lewat untuk memasuki perkhidmatan awam, anda juga akan mengorbankan ramai orang dan banyak perkara untuk mengejar cita-cita. Ramai lagi graduan yang keluar dari UITM dan lain-lain pusat kemahiran telah bersedia mengisi kekosongan terhad sebagai tenaga pengajar. Niagakanlah kemahiran anda!

Jumpa lagi nanti in sha allah. ‘Publish!’.

19 Januari 2013

Lesen-lesen Perniagaan



Pada tahun-tahun awal perniagaan, tentu ramai dari kalangan kita tertanya-tanya apakah syarat untuk mendapatkan lesen perniagaan? Tidak lama selepas itu, apa pula lesen yag perlu ada untuk berurusan dengan pelanggan selain ‘walk in’? Dalam ‘post’ kali ini, saya hendak berkongsi peringkat-peringkat atau syarat-syarat untuk memperoleh lesen perniagaan. Perkara ini pernah saya masukkan di bawah tajuk dalam Program Kebolehpasaran Kolej Komuniti Bukit Beruang. Program ini dikendalikan oleh syarikat saya sekitar tahun 2010.

Ada peniaga yang berniaga di rumah dengan mendaftarkan syarikat mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Alamat yang digunakan juga alamat rumah. Isilah Borang E di Suruhanjaya Syarikat. Borang ini percuma. Bayaran yang dikenakan pula merupakan bayaran pendaftaran bagi nama syarikat selain nama sendiri ialah RM 60. Bagi nama syarikat menggunakan nama sendiri RM 30. Seeloknya bersedialah dengan 5 nama yang berlainan kerana pasti ada nama yang telah didaftarkan. Rancang juga jenis-jenis perniagaan misalnya menjahit, menjual pakaian siap dan mengadakan kelas menjahit. 

Anda naik setingkat lagi apabila dapat berniaga di premis milik syarikat swasta atau pihak berkuasa tempatan. Anda memerlukan satu lesen lagi iaitu lesen dari pihak berkuasa tempatan. Majlis Perbandaran Jasin misalnya merupakan pihak berkuasa tempatan yang memproses pengeluaran lesen di tempat saya. Ada beberapa syarat lebih ketat yang perlu diikuti antaranya menyediakan tong sampah dan alat pemadam api. Bagi papan tanda, anda mempunyai pilihan untuk memasangnya atau tidak. PK-JKP-001/R1 merupakan borang permohonan lesen premis perniagaan di Majlis Perbandaran Jasin. Bayaran proses ialah RM 10. Perlu saya tekankan di sini,  bayaran atau syarat adalah berbeza mengikut tempat pihak berkuasa tempatan. Kadar bayaran lesen pada tahun tersebut adalah mengikut tred perniagaan seperti yang termaktub dalam perjanjian peniaga dengan pemilik premis. Lesen saya misalnya, lebih mahal kerana berada di bawah tred pusat latihan. Jika tred bagi kedai jahit, lebih murah.

Kedai saya


Apabila ingin berurusan atau berniaga dengan agensi kerajaan, kita perlu berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia. Bagi 10 tajuk pertama, bayarannya RM 450. Untuk medium akses pula sekitar RM 200. Namun ada kira-kira 30 tajuk sahaja yang boleh didaftarkan sekiranya anda berniaga di rumah. Tentulah syarat bagi memperoleh lesen ini adalah yang paling ketat kerana ia melibatkan perolehan yang tinggi. Anda perlu menyertakan peta lakaran ke premis, no. caruman KWSP, carta organisasi syarikat dan jumlah modal. Agak memeningkan juga apabila ingin mendapatkan lesen dengan Kementerian Kewangan Malaysia tetapi jika anda telah melaksanakan norma-norma perniagaan yang sepatutnya, anda sama sekali tidak berdepan dengan masalah yang rumit.

Adalah mustahil untuk kita mendapatkan ketiga-tiga lesen serentak kerana setiap syarikat akan tumbuh seumpama biji benih yang kecil kemudian membesar menjadi pokok. Saya sendiri mempunyai lesen dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada tahun 2006, lesen dari Kementerian Kewangan Malaysia pada tahun 2009 dan lesen Majlis Perbandaran Jasin pada tahun 2011. Apabila anda berpeluang untuk membesarkan perniagaan, lakukanlah. Membiarkan perniagaan kekal pada satu-satu tahap yang statik dalam jangka masa 5-10 tahun adalah merugikan. Memiliki lesen bukanlah satu perkara yang mudah bahkan menuntut anda memenuhi sebilangan banyak tanggungjawab kepada beberapa agensi seperti KWSP, PERKESO, LHDN dan Pusat Zakat. Saya bekerja kuat untuk memastikan pendapatan syarikat berupaya mengimbangi perbelanjaan-perbelanjaan yang wajib dikeluarkan untuk lesen-lesen yang syarikat saya miliki serta berupaya menunaikan tanggungjawab kepada agensi-agensi yang berkaitan. Semoga anda juga begitu. 

Jumpa lagi nanti, in sha Allah. ‘Publish!’.

04 Januari 2013

Segmen Penyumbang Pendapatan Syarikat




Dalam sebuah syarikat yang berorientasikan perkhidmatan dalam bidang jahitan, terdapat beberapa segmen yang menyumbang kepada pendapatan syarikat. Adalah penting bagi sesebuah syarikat untuk tidak mengamalkan pergantungan yang keterlaluan dalam satu-satu segmen. Ini kerana ia boleh menjejaskan penjanaan pendapatan syarikat apabila segmen tersebut tidak dapat berfungsi. Perkara ini pernah saya sertakan dalam pengisian Program Kebolehpasaran Graduan Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka pada tahun 2009.

Adalah penting bagi pengurus syarikat menjadi individu yang kreatif dalam mempelbagaikan sumber pendapatan syarikat. Kaedah pemikiran yang kreatif dan kritikal ini amat diperlukan apabila syarikat telah mempunyai premis perniagaan dan pekerja. Dengan memiliki premis dan pekerja, bermakna perbelanjaan syarikat menjadi semakin besar. Oleh yang demikian, pendapatan syarikat harus datang dari pelbagai sumber. Segmen-segmen tadilah yang akan menyumbang kepada pendapatan syarikat.

Semoga berjumpa lagi di lain 'post'. 'Publish!'.